|
Pendidikan adalah satu proses
yang berlangsung setiap detik dan masa serta berlaku dalam semua
keadaan. Proses pendidikan bukan sahaja berlaku dalam bilik
darjah, tetapi di mana sahaja pelajar itu berada. Ketika proses
tersebut berlangsung, penerapan pelbagai aspek nilai-nilai murni
turut berlaku dan mendapat keutamaan sewajarnya. Berbagai-bagai
strategi dibina untuk memenuhi keperluan matlamat tersebut,
sekaligus merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat
ini tidak pernah berubah sejak dari mula lagi, malah pendekatan
dan metodologinya sering diperkemaskan, supaya objektif dan
matlamat lebih mudah tercapai.
Cabaran utama dalam sistem pendidikan kita
adalah untuk menentukan kualiti pendidikan dapat dipertingkatkan.
Oleh itu, pemikiran-pemikiran yang strategik dan pendekatan
yang praktikal perlu diusahakan untuk mencapai matlamat mencemerlangkan
pendidikan di semua peringkat. Dalam suasana yang semakin
mencabar ini, semua warga Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu
menjalankan tugas dengan penuh komitmen. Kita perlu keluar
daripada kepompong lama dan melihat perspektif baru dengan
objektif dan pengharapan baru yang sesuai dengan cita-cita
mencapai kecemerlangan pendidikan.
Saya berdoa agar semua warga SBP dapat terus
berganding bahu dan melangkah sederap dalam mengharungi cabaran-cabaran
baru dalam dunia pendidikan, sama ada cabaran akademik, cabaran
sahsiah atau sebagainya. Jadikanlah pendidikan sebagai usaha
setiap saat sehingga ke akhir hayat untuk membebaskan diri
daripada belenggu kejahilan. Semoga Allah s.w.t. akan sentiasa
memberkati segala usaha yang kita lakukan.
Selamat Maju Jaya.
TAN SRI DATO SERI MUSA BIN MOHAMAD
Menteri Pendikan Malaysia
|