|
Assalamualaikum warhmatullahi
wa ba rakatuh,
Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam
buat Junjungan Besar Rasulullah S.A.W. , kaum keluarganya serta
mereka yang menelusuri sirah perjuangan baginda sepanjang zaman.
Pembentukan individu muslim yang mapan merupakan antara prasyarat
penting bagi memastikan hala tuju dan kejayaan ummah. Penjiwaan
terhadap akhlak yang mulia adalah nadi kekuatan kepada pembentukan
individu muslim tadi. Justeru, sewajarnya bagi gagasan pelajar
KISAS yang mendalam cintanya kepada Islam, perlu menzahirkan
bukti kecintaan tadi menerusi penampilan sahsiah yang terbaik
serta kecemerlangan dalam bidang keilmuan.
Meniti hari-hari mendatang menimbulkan satu kegusaran di kalangan
umat Islam tatkala para rijalnya terjerumus dalam pelbagai gejala
sosial, kemunduran akhlak dan kegawatan jati diri. Ummah ternanti-nanti
dan tertunggu-tunggu di manakah golongan pembela yang dapat
meningkatkan taraf ummah ini ke tahap khaira-ummah
sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Maka, ayuh Warga
Waqafan sekalian, kita pikul amanah menggunung ini, kita buktikan
bahawasanya hanya Islam memimpin kegemilangan dan kehebatan.
Akhirnya, saya mewakili Saff Kepimpinan BADAR 2000/2001 dan
Lembaga Ketua Pelajar 2000/2001 menyusun sepuluh jari memohon
kemaafan daripada pentadbir kolej, para guru, dan rakan-rakan
pelajar andai kiranya terdapat kesilapan atau kelemahan sepanjang
kami memegang amanah sebagai kepimpinan pelajar.
Terima kasih juga atas kerjasama dan doa yang dihulurkan. Terima
kasih juga kepada sidang redaksi RESTU kerana memberi ruangan
ini untuk saya.
Sekian, yang terbaik hanya dari Allah S.W.T, yang lemah dari
diri ini namun hakikat kedua-duanya datang dari Allah Yang Maha
Esa jua dan hanya yang terbaik untuk Islam.
(MOHD FAZLEE ABU BAKAR)
Ketua Umum,
Kolej Islam Sultan Alam Shah.
|