Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
Wa Taala kerana dengan izin serta inayah-Nya saya berkesempatan
menulis sepatah dua kata dalam majalah RESTU Kolej
Islam Sultan Alam Shah (KISAS) edisi tahun 2001 ini. Dengan
penuh kesyukuran juga saya mengucapkan tahniah kepada Sidang
Redaksi kerana berjaya mengurus dan mengelolakan penerbitan
kali ini. Ucapan tahniah seterusnya diucapkan kepada guru-guru
dan pelajar-pelajar yang telah bersama-sama menggembleng tenaga
dan fikiran untuk membantu Sidang Redaksi menerbitkan sebuah
majalah yang akan menjadi kebanggaan seluruh warga KISAS.
Saya percaya, kejayaan menerbitkan majalah
RESTU ini adalah satu kejayaan yang telah ditempa
oleh warga KISAS, selain daripada pelbagai kejayaan cemerlang
yang telah dicapai dalam bidang kurikulum dan kokurikulum,
sama ada di peringkat daerah, mahu pun di peringkat negeri
dan kebangsaan. Semua kejayaan ini, termasuklah kejayaan menjuarai
Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan 2001, membuktikan wujudnya
semangat juang yang tinggi dan komitmen untuk mencapai kecemerlangan
di kalangan guru dan pelajar KISAS. Usaha yang berterusan
untuk mengukuhkan lagi semangat dan komitmen tersebut pastilah
akan menghasilkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Di samping berusaha mencapai kejayaan-kejayaan
yang lebih gemilang dalam pelbagai aktiviti yang diceburi,
pelajar-pelajar KISAS bertanggungjawab pula membuktikan bahawa
ketekunan dan kegigihan berusaha untuk mencapai kejayaan itu
tidak bertentangan dengan agama Islam, malah suatu tuntutan
yang diamanahkan kepada semua umat Islam. Pelajar-pelajar
KISAS juga bertanggungjawab membuktikan bahawa setiap usaha
yang berteraskan prinsip-prinsip Islam yang sebenarnya tidak
akan gagal atau menjadi sia-sia. Sekurang-kurangnya usaha-usaha
yang berterusan yang berteraskan prinsip-prinsip Islam itu
tetap akan memberi kemenangan dalam bentuk kepuasan rohani
dan keteguhan Iman.
Saya berharap, usaha menerbitkan majalah
RESTU ini akan diteruskan, bukan sahaja untuk mempertingkat
dan menyemarakkan imej KISAS sebagai sebuah sekolah berasrama
penuh yang cemerlang, tetapi juga untuk menjelmakan hakikat
Islam dalam mengejar kegemilangan di dunia dan di akhirat.
Wassalam.
(RUSLI BIN RASHIKIN)
Pengarah Pendidikan
Negeri Selangor Darul Ehsan.
|