|
Tunjang kepada proses pendidikan
adalah untuk melahirkan insan baik, seimbang dan bersepadu berpaksikan
kepada kepatuhan dan keyakinan kepada Tuhan yang kemudiannya
dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Sistem
pendidikan yang berkesan harus berupaya melahirkan anak didik
yang berilmu, kreatif, berfikiran kritis, berdaya saing, penyayang
dan berakhlak mulia. Dalam hal ini, semua aktiviti di sekolah
sama ada berbentuk kurikulum atau kokurikulum perlu menjurus
kepada mencapai matlamat murni ini.
Cabaran untuk mengukuhkan dan meningkatkan kualiti pendidikan
adalah tanggungjawab semua pihak. Untuk merealisasikan hasrat
ini, pemimpin dan pengurus pendidikan serta guru-guru perlu
mengamalkan profesionalisme yang tinggi. Kita perlu berusaha
bersungguh-sungguh untuk menerapkan nilai-nilai murni agar murid
yang dilahirkan dari sistem persekolahan merupakan insan yang
seimbang dan berkualiti.
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada
sidang redaksi majalah sekolah ini kerana telah berjaya menghasilkan
majalah bagi tahun ini. Saya percaya kejayaan menghasilkan
majalah ini adalah simbol kejayaan sistem persekolahan dan
pendidikan itu sendiri hasil kerjasama, permuafakatan dan
interaksi yang dijalinkan di antara guru-guru dan murid-murid.
Usaha untuk memberikan peluang kepada murid
dalam mengurus dan seterusnya menghasilkan karya penulisan
dalam majalah ini adalah satu usaha murni dan ianya tidak
terpisah dari hasrat pendidikan negara. Peluang dan ruang
untuk sekolah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu harus diberi tumpuan sewajarnya.
Negara memerlukan pemimpin masa depan yang
bukan sahaja berkaliber dan mampu berkomunikasi secara lisan
atau tulisan dengan baik tetapi juga boleh bekerjasama dengan
orang lain untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Saya menyeru agar semua pihak meningkatkan
usaha dengan lebih gigih lagi bagi mengangkat dan memartabatkan
sistem pendidikan negara kita.
Selamat Maju Jaya.
DATUK HJ. ABDUL RAFIE BIN MAHAT
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia |