|
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Penyayang,
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran
saya panjatkan ke hadrat Allah s.w..t. kerana dengan limpah
nikmat dan kurnia-Nya, RESTU dapat jua diterbitkan untuk tatapan
pelbagai pihak yang prihatin dengan perkembangan KISAS umumnya
dan seluruh warga Bumi Waqafan khususnya. Kejayaan ini sebenarnya
hasil kerjasama padu yang diberikan oleh Tuan Pengetua, para
guru penasihat, pelajar dan warga KISAS.
RESTU merupakan satu wadah tradisi untuk mengabadikan pelbagai
peristiwa yang menjadi kenangan dan kejayaankejayaan
yang telah kita kecapi sepanjang tahun untuk dijadikan teladan
dan pencetus semangat warga KISAS seluruhnya. Lebih jauh daripada
itu, RESTU juga memainkan peranan besar sebagai duta KISAS
ke SBP lain.
Tahun 2001 menyaksikan KISAS berjaya mengembalikan sinaran
kegemilangannya dan meneruskan kesinambungannya sebagai sebuah
instituti pendidikan yang amat disegani. Kejayaan demi kejayaan
yang kita berjaya kecapi meletakkan kita sebaris dengan sekolah-sekolah
elit yang lain. Dalam abad yang penuh pancaroba ini, sesiapa
yang leka pasti akan ketinggalan. Justeru, saya menyeru kepada
semua warga KISAS sayugialah kita memartabatkan budaya ilmu
itu pada tempat yang sewajarnya.
Akhir kalam, sebelum madah berundur, sekali lagi saya ingin
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang
terlibat dalam pembikinan majalah RESTU 2001 pada tahun ini
khususnya kepada semua AJK RESTU tingkatan lima yang sanggup
mengorbankan masa dan tenaga menyiapkan majalah ini meskipun
sibuk dengan peperiksaan. Segala kerjasama dan komitmen yang
telah kalian berikan saya ucapkan terima kasih. Semoga mutiara
KISAS akan terus bergemerlapan meniti zaman.
Sekian.
RESTU WADAH TRADISI KEGEMILANGAN KISAS
MOHD HAFIZ ABDUL RAUF
Ketua Pengarang,
Sidang Redaksi RESTU 2001.
|